KUALA LUMPUR, 1 Jun — Kapal Rachel Corrie yang cuba menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza dengan enam warga Malaysia berada dalam kapal itu akan meneruskan rancangannya walaupun sebuah kapal Turki dengan misi serupa telah diserang tentera laut Israel semalam.
Pengerusi Perdana Global Peace Organisation (PGPO) Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kapal itu tetap meneruskan pelayaran melalui perairan Gaza dan tidak akan melalui perairan Israel.
“Kapal itu tidak akan melalui perairan Iarael. Kenapa pula Israel mahu menghalang orang daripada pergi ke Gaza dan tidak melalui kawasan perairan Israel langsung. Mereka tidak berhak berbuat demikian,” katanya.
Malahan, Dr Mahathir berkata dua buah kapal lagi akan belayar ke Gaza dan terdapat warga Malaysia dalam kapal berkenaan.
“Pelayaran kapal itu tertangguh kerana mengalami masalah pada enjin. Mereka berlepas dari Ireland dan perlu melalui jarak lebih jauh tetapi tetap meneruskan pelayaran ke Gaza,” katanya dalam temu bual dengan stesen penyiaran Al-Jazeera hari ini.
Sebanyak 11 warga Malaysia, termasuk seorang wartawan dan jurukamera daripada Astro Awani dilaporkan berada dalam kapal Turki, Mavi Marmara, yang diserang tentera Israel di perairan Gaza pagi semalam. Sekurang-kurangnya 10 orang dilaporkan terbunuh dalam serangan itu.
Menurut PGPO, Malaysia menaja tiga buah kapal — Rachel Corrie, Challenger 1 dan Challenger — yang menyertai enam kapal daripada kumpulan kemanusiaan antarabangsa yang lain, antaranya “Turkish Relief Foundation'', ''European Campaign to End the Siege of Gaza'' dan ''Swedish and Greek Boat to Gaza Initiatives''.
Ditanya mengenai langkah itu yang mungkin membawa risiko berlakunya konfrontasi seperti apa yang berlaku semalam, Dr Mahathir berkata:
“Sekiranya tentera laut Israel menghalang kapal itu, saya rasa mereka tidak dapat melawan tentera Israel yang bersenjata api dan bersedia untuk membunuh.
“Tetapi misi mereka ialah membawa bantuan itu ke Gaza dan mereka akan meneruskannya sehingga mereka dihalang. Dan sekiranya mereka dihalang, mereka akan merayu supaya dibenarkan lalu dengan selamat kerana mereka bukan anggota tentera, mereka tidak membawa senjata api, mereka cuba membantu orang yang sedang menderita.”
Mengenai dakwaan Israel bahawa ada kalangan mereka di dalam kapal itu mempunyai kaitan dengan Hamas dan Al-Qaeda, Dr Mahathir berkata, perkara itu tidak benar kerana terdapat pelbagai warganegara dalam kapal itu.
Ditanya sama ada terdapat sebarang komunikasi antara pihak berkuasa Israel dan penganjur flotilla itu, Dr Mahathir berkata beliau tidak pasti mengenainya dan menurutnya mereka masih tidak menerima sebarang mesej atau apa-apa.
Penasihat PGPO, Datuk Mukhriz Mahathir berkata oleh kerana Malaysia tidak menjalinkan hubungan diplomatik dengan Israel, negara itu tidak ada hak untuk menahan atau menyimpan mana-mana rakyat Malaysia di atas kawasan mereka.
“Ini adalah sebuah bentuk penculikan dan kami mendesak agar mana-mana rakyat Malaysia yang ditahan Israel dibebaskan dengan serta merta. Lebih menjelekkan, flotilla membawa sekumpulan pengiat kemananan antarabangsa dari seluruh dunia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, sememangnya tiada langsung alasan bagi tentera Israel menaiki mana-mana kapal awam di luar kawasan mereka, tambahan pula kapal itu sedang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza.
“Serangan tentera laut Israel ini bukan sahaja sebuah bentuk perlanunan, malah ia juga sebuah bentuk keganasan antarabangsa. Serangan turut ancam nyawa wanita dan kanak-kanak dan warga emas yang berada di atas kapal. Ini bukti jelas sikap berpura-pura kerajaan antarabangsa yang benarkan serangan ini berlaku,” katanya. — Bernama
No comments:
Post a Comment